MAHFUZAN GADDAFI LUBIS AL-TAMARLI

ismi MAHFUZAN GADDAFI BIN MAHMUD, sedang menyambung pengajian di dalam Master in Syariah di UKM...

diriku seorang insan yang berjalan dimuka bumi Allah ingin mencari keredhaan Allah...diriku juga ingin mencari apa yang dikatakan sebagai ketenangan yang hakiki.....dan berada di dalam barisan harakah islamiah yang terus berjuangan menentang kebatilan yang berkuasa...

Hidup sebagai pemuda, Mati sebagai pejuang

Posted by hararahizbullah Wednesday, February 11, 2009


Salam pemuda,

Dilahirkan bersih, suci dan murni bak kain putih luas terbentang. Tercoraknya kain itu adalah kerana tangan-tangan yang bermain diatasnya. Pengertian ini jelas dapat disama erti tentang fitrah kelahiran manusia ke atas dunia ini sama seperti kain putih. Yang mencorak mereka tidak lain orang terdekat iaitu ibu bapa dan seterusnya keadaan sekeliling yang membaluti kehidupan mereka dalam usia mentah sebegitu.



Anak kecil suci lagi bersih.

Jikalau, si ibu dan bapa merupakan tiang keluarga yang didirikan atas konkrit iman dan taqwa, ternyata si anak itu insyaallah bakal ditiup dengan roh Islam dari kecil agar mudah-mudahan dapat menjadi seorang Mukmin yang baik.

Bagaiamana pula dengan keluarga yang tinggal sebelah tiang sahaja? Ibu atau bapa mungkin sudah pulang ke rahmatullah ataupun perkara yang halal tetapi paling dibenci Allah berlaku dalam rumah tangga tersebut-penceraian. Apakah nasih si kain putih yang baru menyembah bumi itu? Siapakah yang bakal mencorak si anak tersebut?

Apabila roboh tiang yang satu, maka rumah yang terbina itu bakal didatangi dengan pelbagai anasir yang kurang sihat-sama seperti rumah usang yang rosak, menjadi sarang najis penagih dadah. Rumah itu akan hanya terselamat apabila jiran tetangga di sekeliling turut mengambil berat akan nasib binaan itu. Maka, tidak akan menjadi masalah buat si Ibu atau Bapa tunggal tersebut untuk melukis corak yang terbaik di atas hamparan kain putih suci tersebut dengan harapan dapat menjadi insan yang betul-betul berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Rosaknya sistem sosial

Elemen keluarga dan persekitaran merupakan antara faktor utama untuk seseorang anak kecil membentuk menjadi remaja. Dimana lagi si anak tersebut akan belajar akan kehidupan jikalau tidak dari si Ibu dan Ayah yang melahirkannya serta interaksi si anak dengan alam sekeliling seperti alam persekolahan, jiran tetangga dan sahabat handai mereka.

Oleh itu, bukanlah satu perkara yang ganjil dan abnormal jikalau kita ditimpa rimbunan masalah sosial pada hari ini. Pokoknya disini, sistem yang ditinggalkan oleh si Penjajah British merupakan pencorak utama punca berlaku masalah sosial dan diteruskan lagi oleh Sang Penguasa yang hanya mengambil Islam sejemput-sejemput.

Yang mana enak dan boleh memberi laba yang banyak seperti Perbankan Islam, maka nama Islam itu ditempek di atas dahi menandakan kami 'Syariah Friendly'. Yang tidak enak usah harap dapat disaji kepada khalayak ramai kerana kononnya di negara yang berbilang kaum ini kita perlu ada toleransi dalam agama sehingga apa yang tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak perlu di buang jauh-jauh. Nasib Islam di negara ini tidak ubah seperti itu.

Saya tidak hairan dan boleh menerima kenyataan kehidupan muda-mudi di negara kita yang terjerlus dalam selut masalah sosial. Kita layak menerima tempelak ini. Kita layak kerana majoriti daripada kita 'redha' dengan keadaan sebegini.

Tetapi persoalannya sampai bila?


Terbangun dari tidur




Adakah aku sudah melampaui zaman?


Tak sangka. Rupa-rupanya, kehidupan yang dilalui selama ini merupakan mimpi yang enak. Bukan realiti. Hakikat kehidupan yang sebenar tidak difahami melalui konteks sebenar sebagai seorang Muslim.

Hidayah yang dikurniakan oleh Allah ke dalam diri ini bak pengembara yang baru mendapat air untuk meneruskan kehidupan yang baru. Bersyukur. Teramat bersyukur apabila diri hina ini dipisahkan dari mimpi yang memerangkap jiwa. Pertemuan dengan beberapa Ustaz dari Fitrah Perkasa, sebuah syarikat motivasi yang berkonsepkan dakwah Islamiyah telah membuka seribu pintu yang baru.

Kehidupan sebagai remaja diriku ini sudah berubah. Jauh daripada kenangan silam. Kalau dahulu, aku juga seperti remaja yang lain. Kehidupan diriku berpaksikan keseronokan maksimum sentiasa. Kalau tak seronok tak sah. Tak menarik, tak cool. Maka, seperti remaja lain, kompas hidupku dibawa arus materialisme, dan individualisme.

Palestin? Siapa peduli?




Keberanian asas kejayaan dalam pergolakan

Aku tidak pernah peduli Palestin. Surat khabar puas dibaca setiap hari tetapi dibenak hati tidak juga dapat merasai getaran jiwa mereka. Setelah kenal apa itu Islam, jiwa aku mula tersentak. Maka, dari situlah aku mula dapat memahami penderitaan mereka. Sekali lagi, diri ini berubah.

Tangan menggigil geram. Tapi, tak mampu pergi jauh. Aku mula menelaah. Ku temui Zionis, Si laknatullah yang mendalangi setiap kerosakkan di muka bumi Palestin. Aku tidak berpuas hati dengan sekadar mengenali nama mereka, maka aku terus menelaah dengan berbekalkan semangat inkuiri yang meluap-luap.

Sudah hampir 3 tahun semenjak aku meninggalkan sekolah, diri aku ini tidak pernah kering daripada semangat inkuiri. Dari satu lapangan aku ke lapangan yang lain, dari satu tokoh ke tokoh yang lain, perjalan yang aku lalui ini sungguh lazat. Aku lahap dengan ilmu.

Oleh kerana terlampau lahap, aku rasa terpisah dengan keadaan sekeliling. Adakah pemikiran aku melampaui zaman remaja aku? Terngiang-ngiang juga rasa diri ini. Akhirnya, kawan-kawan aku terdiri daripada para ustaz di Masjid, dan juga para pensyarah yang sefikrah dengan aku.

Perjuangan yang panjang.

Tidak sangaka aku melabel diri sebagai pejuang. Aku tidak pernah mengenali erti perjuangan hakiki sebelum ini. Bagi aku, sudah memadai untuk aku menjawat profesion yang bagus, gaji yang lumayan serta isteri yang cantik. Bukankah semua manusia normal inginkan semua itu?

Itu dulu. Itu semua hanyalah ilusi jikalau hendak dibandingkan dengan keadaan sebenar kita di bumi Allah ini. Terlampau banyak masalah dan krisis. Tidak sanggup aku duduk diatas tilam yang empuk dan membiarkan masa depan anak bangsa, agama dan negara ini tergadai oleh sifat penting diri seperti ini.

Atas dasar itulah aku menghambakan diri untuk mencari kebenaran. Bukan sekadar kebenaran dalam Islam malah kebenaran dalam masalah yang timbul-baik dari segi alam sekitar, ekonomi, sosiologi, kejuruteraan dan keseniaan. Aku tidak akan puas jikalau tidak dapat jawapan yang lengkap.

Aku kehilangan masa remaja aku. Masa remajaku tidak sama seperti yang lain. Bila melihat sahabat handai, terasa cemburu pun ada, mungkin terkenang episod lama dalam lembaran sejarah diri. Tetapi, aku tetap tidak mahu berganjak dari posisi yang Allah telah berikan kepada aku sekarang. Aku hanya mahu berganjak ke depan-terus berjuang mencari kebenaran dan merungkai polemik yang sekian lama menderai anak Adam.

Selamat tinggal remaja. Sudah sampai masanya aku meniggalkan mu di situ. Bukanku tidak mahu bersamamu. Ku cintai masa yang indah kita bersama tetapi aku tidak mampu melihat kebenaran dari Tuhan disiat-siat oleh makhluk yang tidak kenal erti keadilan dan kesaksamaan.
Maka, tidak ada jalan lain melainkan untuk diriku bergabung dengan perjuangan menegakkan kebenaran.

Bukan habuan keduniaan yang kuinginkan dari perjuangan ini. Bukan juga Syurga yang ku rindui. Yang menjadikan diriku degil untuk berada dijalan ini hanyalah betapa rindunya aku terhadap kebenaran yang Allah janjikan disebalik kemenangan dalam perjuangan yang panjang ini. Betapa nikmatnya apabila kita mengetahui hakikat kebenaran melalui Islam...

"Ya Allah, istiqamahkanlah diriku ini. Biarpun aku hanya tinggal secupak nasi dan seberkas kain, jangan kau luputkan roh perjuangan yang kau kurniakan ini. Hanya untukmu ya Allah, hanya untukmu"

Nukilan ini dibuat selepas dilanda masalah yang banyak dalam minggu ini. Mungkin agak berselirat tetapi maksudnya tetap ada. Wallahualam.

1 Responses to Hidup sebagai pemuda, Mati sebagai pejuang

  1. assalamualaikum, nukilan yg amat mnrik, mksud yg tersirat amt mbangkit smgt..
    sirru 'ala Barakatillah..

     

Post a Comment