MAHFUZAN GADDAFI LUBIS AL-TAMARLI

ismi MAHFUZAN GADDAFI BIN MAHMUD, sedang menyambung pengajian di dalam Master in Syariah di UKM...

diriku seorang insan yang berjalan dimuka bumi Allah ingin mencari keredhaan Allah...diriku juga ingin mencari apa yang dikatakan sebagai ketenangan yang hakiki.....dan berada di dalam barisan harakah islamiah yang terus berjuangan menentang kebatilan yang berkuasa...

CENGKAMAN KEBENDAAN TERHADAP ORANG ISLAM

Posted by hararahizbullah Tuesday, July 7, 2009



Orang-orang Eropah berusaha bersungguh-sungguh untuk menenggelamkan seluruh negara
Islam dengan gelombang hidup kebendaan ini. Dalam masa yang sama mereka berusaha
menghalang segala faktor-faktor kebangkitan dan kekuatan - ilmu pengetahuan, sains,
perkilangan dan sistem yang berfaedah - agar tidak terlepas ke tangan umat ini.

Mereka memperkukuhkan rancangan "serangan sosial" ini dengan bantuan tipu helah politik dan kuasa tentera sehingga tercapai apa yang dikehendaki.Pembesar-pembesar umat Islam telah diumpan dengan hutang, kerjasama dan segala kemudahan. Dengan ini mereka telah berjaya mendapatkan hak campurtangan ekonomi danakhirnya menenggelamkan negeri umat Islam dengan segala modal, bank-bank dan syarikat-syarikat mereka. Di tambah pula mereka sendiri yang menguruskan segala kerja-kerja ekonomi itu mengikut kehendak dan memonopoli segala keuntungan dan kekayaan yang melimpah ruah. Akhirnya mereka berjaya merubah corak pemerintahan, undang-undang dan pelajaran menurut
corak politik, undang-undang dan kebudayaan mereka walaupun di negara Islam yang paling kuat.


Mereka juga telah mengimpot ke negara Islam ini wanita-wanita separuh bogel mereka, segala jenis arak, teater, kelab malam, tempat-tempat hiburan, cerita-cerita, novel-novel, khayalan-khayalan, mainan dan gurauan mereka. Di samping itu mereka benarkan di negara Islam segala jenis jenayah yang tidak dibolehkan di negara mereka. Mereka telah menghiaskan dunia ini dengan kebisingan suara-suara dosa dan memalitkan noda di mata hartawan-hartawan Islam, orang-orang yang berpengaruh, berkedudukan dan berkuasa di kalangan umat Islam. Tidak cukup hanya setakat ini, mereka telah mendirikan sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara Islam dengan mengajarkan atheis ke dalam jiwa anak Islam.

Mereka mengajar anak-anak Islam bagaimana rendah diri mereka, menghina agama mereka,
tanahair mereka, meninggalkan segala adat dan kepercayaan mereka dan mengagungkan tiap-tiap apa yang datang dari barat. Mereka meyakinkan bahawa apa yang dihasilkan oleh orang-orang Eropah sahaja merupakan contoh yang unggul dalam hidup ini. Sekolah-sekolah ini mengandungi anak-anak Islam dari golongan atasan sahaja dan sengaja dikhaskan untuk mereka. Anak- anak Islam dari golongan ini terdiri dari anak-anak para pembesar, pemerintah dan orang-orang yang akan mengambil alih kuasa pemerintahan umat dan rakyat tidak berapa lama lagi. Mana-mana pelajar belum cukup masak dengan ajaran mereka, hantaran biasiswa dijamin bagi menyempurnakan kematangan pelajaran itu.



Perang sosial yang teratur hebat itu berjaya menarik hati sesetengah umat Islam. Dia merupakan suatu perang yang sangat merbahaya, lebih bahaya dari perang politik dan tentera berpuluh kali ganda. Setengah dari kalangan umat Islam cukup terpesona dengan tamaddun barat itu dan bercita-cita untuk mencelupkannya dengan celupan Islam. Turki pun mengisytiharkan bahawa dia bukan lagi negara Islam dan akan mengikut Eropah. Amanullah Khan, Raja Afghanistan juga cuba mengikut jejak langkah itu tetapi percubaan itu ia telah membawa kepada penggulingannya. Di Mesir, trend pak turut ini menular dengan cepat sehingga kalangan yang terpengaruh terus terang mengatakan, "tidak ada jalan lain lagi untuk kita maju melainkan dengan cara kita
mengambil bulat-bulat tamaddun ini termasuk segala buruk dan baiknya, segala apa yang
disuka atau tidak disuka dan segala hina dan mulianya".

Dari Mesir trend ini merebak dengan cepat ke serata negara Islam di sekitarnya hingga sampai ke Afrika Barat dan Hijaz. Berdasarkan terkesan tamaddun dan kebendaan ke atas negara-negara Islam ini, ianya boleh dibahagikan kepada 3 kelompok;

a) Negara yang dikesani begitu teruk sekali sehingga ke hati dan perasaan di samping merubah segala kedudukan dan rupa bentuk. Antaranya; Turki dan Mesir. Pengaruh Islam di kalangan masyarakat telah merosot di negara-negara ini. Islam telah dilontar ke dalam masjid, surau dan pondok-pondok mengaji Islam sahaja.

b) Negara yang terkesan hanya pada beberapa bentuk dan upacara-upacara rasmi sahaja sepertiIran dan negara- negara Islam utara Afrika.

c) Kesanya hanya kepada orang tertentu sahaja iaitu golongan intelek dan pemerintah dan tidak melibatkan orang awam seperti Syria, Iraq, Hijaz, bahagian-bahagian di Semenanjung Tanah Arab dan Kerajaan- kerajaan Islam di sekitarnya. Walau bagaimanapun, gelombang bahaya ini bergerak begitu cepat untuk sampai ke tempat yang belum sampai sebelumnya, ke dalam jiwa, lapisan dan kedudukan masyarakat sekitarnya.
Musuh-musuh Islam berjaya menipu bijak pandai umat Islam dengan meletakkan satu tabir tebal dihadapan mata orang yang sayangkan agamanya dan menyatakan bahawa Islam itu hanyalah bentuk aqidah, ibadat, akhlak di samping beberapa upacara-upacara tertentu, khurafat dan manifestasi yang tidak bernilai. Kebodohan umat Islam terhadap hakikat agamanya sendiri turut membantu penipuan itu sehingga ramai di antara mereka yang berpuashati dan rela dengan gambaran yang diberikan itu.




Oleh kerana terlalu lama dalam keadaan demikian, menjadi kesukaran apabila kita hendak fahamkan kepada mereka bahawa Islam itu suatu sistem masyarakat yang sempurna mencakup segenap masalah hidup. Dengan ini boleh kita katakan bahawa tamaddun barat dengan prinsip kebendaannya telah menang dalam pertarungan sosial melawan tamaddun Islam sebagaimana mereka telah memenangi medan politik dan tentera.

Ini semua bukan suatu yang pelik kerana kenyataan hidup tidak berbelah bagi dan kekuatan itu terletak kepada semua dan begitu juga kelemahan terletak kepada semua. Firman Allah yang bermaksud;

"Dan masa (kejadian dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)". (AL-Imran:140).




Sekalipun prinsip-prinsip dan pengajaran Islam itu sendiri kuat, penuh kesuburan, hidup dan indah, maka ia akan tetap abadi sedemikian kerana dia adalah benar. Hidup manusia tidak akan tegak dengan sempurna dan mulia tanpanya. Sebab dia adalah ciptaan Allah, sebagaimana firman Allah yang bermaksud;

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al Qur'an dan Kamilah yang memelihara dan mengajarnya" (al Hijr:9).

Firman Allah lagi yang bermaksud;

"Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayanya sekalipun orang-orang kafir tidak menyukainya" (at Taubah:32).

Kesimpulan yang dapat dinukilkan di sisni ialah sebagaimana pertarungan politik telah menimbulkan kesedaran perasaan kebangsaan kepada umat ini, maka penindasan dan kecelaruan sosial ini juga telah melahirkan kesan penyegaran semula fikrah Islam. Timbul suara di sana sini meminta supaya kembali kepada Islam, dipelajari
hukum hakam dilaksanakan sistemnya. Akan tiba tidak lama lagi saat keruntuhan tamadun
kebendaan di atas kepala pendokong-pendokongnya. Ketika itu mereka akan merasakan betapa roh mereka itu lapar meronta di hati dan di jiwa mereka. Di kala itu mereka tidak akan mendapat apa jua makanan, penyembuhan dan pengubatan melainkan dalam ajaran Al-Quran yang mulia ini. Firman Allah yang bermaksud;

"Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepada mu pelajaran dari Tuhan mu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah dengan kurnia Allah dan rahmatNya hendaklah
dengan itu meraka bergembira. Kurnia Allah rahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". (Yunus:58).


1 Responses to CENGKAMAN KEBENDAAN TERHADAP ORANG ISLAM

  1. salam

    ustaz mahfuzan...

    artikel yg sangat menarik

    perlu dibaca dan difikirkan oleh sume umat islam

    berdoa agar kita terhindar dr dakyah barat ini

    ayuh , muslimin dan muslimat

    kukuh kn ilmu , mantapkan diri dengan ilmu dan amalan...

    janji Allah adalah pasti..

    salam perjuangan..

     

Post a Comment